1 Kelab Blogger Ben Ashaari

Followers

Wednesday, March 7, 2007

Malam satu Drama anjuran mekar budaya






Jeritan Hati……
…Seorang lesbian, seorang pelajar, seorang pelakon, dan seorang lelaki yang gagal dalam cinta, dalam Malam Satu Drama
By Nizam Zakaria
Thursday,april 15, 2004

Jeritan hati seorang wanita yang mencari kebahagian dalam segala kesulitan hidup boleh diperhatikan dalam monolog seorang perempuan, salah sebuah dari empat monodrama yang dikumpulkan bawah tajuk Malam Satu Drama, projek komersial sulung Mekar Budaya Production ini telah di pentaskan di MATIC pada 26 mac dan 27 mac. Jeritan tersebut memang bukan satu rencah yang baru-tetapi apabila persoalan seksualiti di ambil kira, saya anggap perkara ini menyegarkan dan berani. Monolog ini sebuah karya Lena Farida, arahan Engku Normalareesa dengan bantuan Kartika Mohamad. Pada hemat saya, ia adalah sebuah pementasan yang cukup ikhlas dan jujur. Bayangkan sebagai pementasan teater melayu dengan tema filem monster(dalam kisah benar, Charlie theron berlakon sebagai pelacur yang menjadi pembunuh, tetapi terjatuh cinta pula dengan seorang gadis muda). Dalam monolog seorang perempuan, kisahnya berakhir dengan tragedy bunuh diri, dan pemenjaraan seorang wanita yang tidak bersalah.

Sebenarnya, saya sudah muak dengan cerita-cerita sedih atau tragedy gay dan lesbian seperti ini, kerana terlalu banyak rasanya cerita seperti ini yang dipentaskan di Malaysia sejak baru-baru ini seperti sam&jet dan angels. Tetapi menurut penulisnya, Lena farida, cerita yang ditulisnya ini adalah berdasarkan sebuah kisah benar yang berlaku kepada seorang kenalanya. Lena sekadar menceritakan sesuatu yang dekat dengan dirinya dan saya cukup hormat dengan keikhlasannya. Watak ‘pengkid’ yang pada saya mulanya ganas terhadap kekasihnya wanitanya akhirnya menjadi lebih tenang setelah beliau dapat hidup bahagia buat beberapa ketika sebagai suami isteri dengan pasanganya. Watak-wataknya tidak di lukiskan sebagai terlalu sempurna sifat mereka, malah tanpa suntikan sentimental seolah mahu menagih simpati dari penonton.

Teks yang cukup kuat dan memberangsangkan oleh Lena telah di Bantu oleh lakonan cemerlang Mardiana Ismail- dalam saat-saat genting, beliau dapat menghidupkan perasaan marah, kecewa dan terkonkong dengan berkesan. Dalam pementasan ini, pentas dijadikan penjara watak dan watak lakonan Mardiana pula mencerita kembali pengalaman pahitnya sejak kecil sehinggalah beliau di tuduh membunuh kekasih wanitanya. Pementasan ini memberitahu kepada penonton bahawa kejadian seperti ini sememangnya berlaku di Malaysia. Ramai remaja tidak akan membunuh diri jika keluarga mereka lebih memahami dan tidak memberi tekanan untuk menjadi ‘orang normal’; sedikit sebanyak terdetik dihati kita bahawa manusia seperti mereka berhak mencari kebahagian dan ketenangan dalam hidup mereka.


Sebenarnya, pementasan pertama dalam siri malam satu drama, adalah bertajuk, monolog sang serigala, sebuah produksi pentas lakon University Malaya. Karya monolog Dorothy Jonathan ini telah di arahkan oleh Rosdeen Suboh dan di lakonkan oleh Hushairi dengan penampilan koleksi puisi dan ciptaan muzik oleh zubir ali.
Pada dasarnya monolog sang serigala merrupakan sebuah monodrama mengenai kemelut yang berlaku di Universiti di mana tenaga pengajar mengeksploitasi pelajarnya untuk mendapatkan nama dan kedudukan di menara gading. Persoalan yang dikemukan penulis jarang-jarang diperkatakan walaupun secara peribadi, banyak kali saya terdengar desas-desus mengatakan bahawa perkara ini sering berlaku di Negara kita.

Monolog sang serigala adalah menarik, tetapi bagisaya agak meleret-leret. Props kerusi telah digunakan dengan begitu baik sehingga mampu menjadi watak dalam pementasan ini(termasuklah satu adegan yang kelihatan erotik). Tetapi sayang sekali, berlakunya kesilapan teknikal sehinggaa lagu-lagu yang telah di gubah khas oleh zubir ali tidak dapat di mainkan.

Pada pendapat saya No Smoking Please adalah persembahan terbaik dalam kedua-dua malam ini. Menurut synopsis, ‘penghasilan drama ini juga adalah satu tanda sokongan kepada kempen anti merokok “TAK NAK” yang dijalankan oleh kerajaan’- pastilah ianya sebuah teater propaganda bosan. Tetapi MARLENNY DEEN ERWAN, penulis dan juga pengarah pementasan ini, berjaya membuahkan karya yang bermesej dalam bentuk komedi dan drama yang menarik.
No Smoking Please menceritakan tentang seorang bintang popular yang telah digunakan untuk mengajak masyarakat agar mengamalkan cara hidup sihat, walaupun cara hidupnya sendiri tidak sihat, serta kisah silamnya penuh dengan onak dan ranjau.

Seperkara yang mempesonakan tentang No Smoking Please adalah lakonan Jaa Rased, seorang graduan dari AKADEMI SENI KEBANGSAAN yang berjaya mengubah sebuah teks yang sudah sedia baik dari segi penulisannya kepada sebuah pementasan yang bertenaga dan menakjubkan. Saya cukup terhibur melihat Jaa melakukan senaman dan menjerit “ Malaysia Boleh ” dia atas pentas serta melakonkan beberapa watak dengan beberapa loghat.

Gabungan bakat kedua-dua wanita muda ini berjaya menghasilkan sebuah naskhah teater melayu yang baik. Antara yang terbaik yang pernah saya saksikan sejak akhir-akhir. Saya menyukai karya-karya ini kerana secara teknikal, ia adalah sebuah karya yang berjaya di tulis dengan licik dan licin. Melalui suntingan skrip yang cekap, penonton dapat menangkap mesej dalam persembahan teater yang menarik dan yang mampu menyentuh jiwa penonton. No Smoking berjaya kerana penulis dapat mempersembahkan sebuah cerita bersifat propaganda yang di selitkan dalam sebuah kisah kehidupan seorang artis.

Copyright @kakiseni.com.sdn.bhd- http://www.kakiseni.com.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih sudi membaca. komentar anda inspirasi saya