1 Kelab Blogger Ben Ashaari

Followers

Friday, December 18, 2015

“Ibu tak bawa duit”


FAUZIAH AROF
15 Disember 2015 6:15 PM
SUMBER DARI UTUSAN ONLINE


BEBERAPA hari lalu, saya pergi ke sebuah pasar raya di Shah Alam. Semasa memilih barangan, di depan saya, seorang ibu yang mengendong anak kecil bersama tiga lagi anaknya. Saya lihat dia membelek-belek harga susu, tetapi tidak membelinya dan berlalu.

Sampai di bahagian makanan kering, saya terserempak dengannya semula. Saya nampak, dia membelek pula harga sardin dan dia meletakkan semula tin sardin itu di atas raknya. Sambil itu, salah seorang anaknya menarik-narik baju ibunya. Ibu hendak gula-gula, pinta anak itu. Ibunya menjawab; “Lain kali...ibu tidak bawa duit.” Saya lihat dalam bakulnya ada sebungkus mi segera dan telur.

Kata-kata si ibu ini mengingatkan saya tentang arwah bapa semasa saya mengikutnya membeli barang dapur ketika saya kecil dulu. Bila saya mahukan mainan yang dijual di situ, arwah bapa menjawab ayat yang lebih kurang sama; “Abah tidak bawa duit hari ini. Lain kali kita datang sini, kita beli.”

Memang itulah ayat yang sering digunakan oleh ibu bapa yang bergaji kecil, apabila tidak boleh memenuhi apa yang diminta oleh anak-anak apabila berada di kedai pada ketika itu dan ayat itu masih digunakan sampai kini.

Saya cukup menghormati dan tabik dengan ibu bapa yang tabah sebegini. Walaupun susah, mereka tidak tunjuk kesusahan itu pada anak-anak dan mungkin juga mereka menangis di belakang tetapi di depan anak-anak, cukup sabar melayan kerenah anak yang mahukan macam-macam.

Itu kisah ibu itu, yang saya kemudiannya menghulurkan coklat kepada anak-anaknya yang menyambut coklat itu dengan wajah kegirangan.
Semalam saya terbaca satu kisah dalam Facebook. Kisah itu menceritakan seorang ayah yang bergaji kecil. Dia tidak mampu membeli ayam goreng KFC untuk anaknya yang berusia lima tahun. Apabila dia balik kerja, anaknya berlari melihat raga motosikalnya dan bertanya mana ayam KFC yang dimintanya. Ayahnya jawab dia tidak sempat beli.

Keesokannya, dia membeli seketul ayam goreng untuk anaknya itu di pasar malam. Apabila pulang, dia berikan ayam goreng yang berbungkus plastik kepada anaknya. Anaknya kata, itu bukan ayam KFC. Ayahnya terpaksa berbohong dengan mengatakan dia sudah membuang kotak KFC itu kerana hujan, kotak itu basah.
Mendengar jawapan ayahnya, anaknya dengan gembira makan ayam tersebut dan ayahnya melihat telatah ananya itu dengan perasaan bercampur baur, antara sedih dan gembira. Airmatanya jatuh. Melihat ayahnya mena­ngis anaknya bertanya: “Kenapa abah menangis? Nah! ayam KFC. Makanlah.”

Mungkin situasi ini betul dan mungkin juga sekadar rekaan. Tetapi saya percaya keadaan seperti ini berlaku di mana-mana. Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat ini, menjadi seorang ayah dan ibu memang begitu berat cabaran dan tanggungannya.

Sebab itu, apabila ada pihak bercakap pasal berjimat cermat. Saranan itu hanya mengundang rasa marah kepada yang bergaji kecil. Mahu jimat macam mana, duit kerja pun habis untuk pergi kerja dan disuruh menabung pun, duit beli tabung pun belum tentu ada!

Lebih-lebih lagi pada bulan ini. Ibu bapa terpaksa ber­belanja lebih daripada biasa kerana membeli barang-barang kelengkapan anak-anak yang akan ke sekolah semula beberapa hari lagi. Bagi yang berpendapatan rendah, kedai yang menawarkan harga murah menjadi tumpuan. Maka bersesak-sesaklah kedai itu. Dan ini membuatkan saiz baju dan kasut sekolah di situ akan cepat kehabisan.

Sudah tentu situasi ini amat berlainan dengan yang bergaji besar. Bulan ini adalah bulan bercuti, membawa keluarga melancong ke luar negara atau dalam negara. Jika tiket kapal terbang yang beribu-ribu ringgit boleh dibeli untuk sekeluarga, apalah sangat dengan persiapan untuk ke sekolah. Sudah tentu mudah.
Memang betul survival dalam kehidupan kita semua berbeza. Ada yang senang, ada susah. Tetapi jika yang se­nang itu mempermudahkan hidup orang yang susah, itu adalah lebih baik.

Dan kebanyakan orang kata, hanya orang yang pernah susah akan faham kesusahan orang lain, tetapi ada juga yang kata, orang yang pernah susah pun belum tentu faham kesusahan orang lain, bila dia sudah jadi senang. Dalam dunia ini memang macam-macamlah!



6 comments:

  1. sekarang ni mmg susah kak...Sally yg sara keluarga ni pun sedih...bukan tak nak belanja ibu makan sedap, bukan tak nak belikan baju yg mahal-mahal...tapi semuanya luar kemampuan :(

    ReplyDelete
    Replies
    1. yup beti..bebanan semakin tinggi.kita bagi yg termampu,nilainya bukan terletak pada duit tapi niat kita kan..

      Delete
  2. Yg terhimpit bertmbh tersepit... sigh

    ReplyDelete
  3. Betul tu ija...
    Kehidupan seseorg itu berbeza2..
    Jadi jgn mudah utk berkata..
    CH pun pernah jumpa situasi begini.. bila dihulur coklat atau gula2 punyalah mereka gembira.. teringat CH pesan arwah mak.. jgn lihat org diatas tetapi lihat lah org dibawah.. mereka lebih susah dari kita... CH pernah hidup susah dan tahu erti kesusahan..

    ReplyDelete

Terima kasih sudi membaca. komentar anda inspirasi saya